Kumarasan menunjukkan guni berisi kabel yang dicuri dua lelaki, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua termasuk seorang lelaki etnik Rohingya ditahan kerana terlibat kes curi kabel di kawasan tapak pembinaan dan kilang sekitar Gelang Patah di sini hujung bulan lalu.

Sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan dua operasi berasingan pada 27 dan 29 September lalu untuk menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek pertama iaitu lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan di kawasan Gelang Patah.

“Sementara suspek kedua iaitu seorang lelaki Rohingya berusia 31 ditahan di Taman Cahaya, Kota Puteri, Johor Bahru. Hubungan kedua-dua suspek adalah rakan.

“Suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah dan dadah serta hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek Rohingya tidak mempunyai rekod lampau dan negatif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Katanya, hasil tangkapan tersebut pihaknya merampas satu guni mengandungi kabel seberat kira-kira 8 kilogram pelbagai warna dan saiz yang telah dipotong.

Beliau percaya dengan tertangkapnya suspek pihak polis berjaya menyelesaikan empat kes di kawasan Gelang Patah.

“Kita dapati suspek menjual kabel tersebut sebelum ini di kedai menjual barang lusuh di Masai,” ujarnya.

Kumarasan memberitahu, semua tangkapan akan dituduh Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menolong menyembunyikan harta curi dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan jenayah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast