KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi menemui sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Istanbul, Türkiye hari ini.
Beliau ditemani oleh Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim.
“Alhamdulillah, hampir keseluruhan delegasi dalam keadaan sihat dan akan dihantar untuk pemeriksaan kesihatan sesegera mungkin.
“Malah mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin,” kata Farhan dalam kenyataan.

Menurut Farhan, semangat mereka itu sukar digambarkan.
“Kebanyakan daripada peserta aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka di lautan kerana risau akan terlepas ke tangan rejim.
“Oleh itu, mereka kini berada di Istanbul jauh daripada keluarga tanpa telefon bimbit,” katanya lagi.
Beliau telah diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu sebaiknya agar permudahkan urusan mereka di Istanbul dan akan segera membawa pulang kesemua anak-anak Malaysia ini ke tanah air dengan selamat.

“Kepulangan mereka kelak bukanlah satu pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin tetapi bakal menjadi lambang bagaimana negara kecil Malaysia ini utuh prinsipnya dan punyai rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















