JURU – Upah gaji lebih rendah berbanding pekerja tempatan antara alasan segelintir majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu kenderaan perdagangan berat.
Kegiatan itu dibongkar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan bermula 1 hingga 30 September lalu.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, tiga pemandu masing-masing warga Bangladesh, Myanmar dan Pakistan itu dikesan memandu lori kontena, lori tipper (pengangkut bahan pukal) serta lori kawalan arah berganda (double control).
Katanya, semua pemandu warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu didapati memandu jarak jauh termasuk dari Perak menuju ke utara tanah air.
“Semua kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut selain notis saman turut dikeluarkan kerana warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan perdagangan di negara ini.
“Selain itu, dalam operasi sama kita turut mengesan sebuah bas kilang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.

“Kita juga kesan beberapa kes yang mana kenderaan berat ini melakukan pengubahsuaian struktur badan asal tanpa kebenaran seperti penggunaan tong atau bucket yang lebih besar dan tinggi untuk membawa lebih muatan sehingga melebihi had ketinggian dibenarkan,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Juru (arah utara) di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata sepanjang operasi dari 1 hingga 30 September lalu, sebanyak 19,191 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 1,616 daripadanya diambil tindakan.
Jelas beliau, dalam tempoh sama sebanyak 2,946 saman dikeluarkan manakala 26 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan utama yang direkodkan ialah tiada Lesen Vokasional (GDL/PSV) sebanyak 398 kes, membawa muatan melebihi had dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (277 kes) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (100 kes).
“Selain itu, 232 kes melibatkan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen, 227 kes Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan 85 kes pula dikesan memandu tanpa perlindungan insurans.
“Manakala bagi operasi (malam tadi) sebanyak 108 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 44 diambil tindakan serta 50 saman dikeluarkan,” katanya.
Untuk rekod, JPJ melaksanakan Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan bagi tempoh tiga bulan bermula 1 September berikutan siri kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan termasuk yang meragut nyawa. – MalaysiaGazette
















