Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak tersenyum ketika keluar dari mahkamah selepas keputusan permohonan kerajaan dapatkan ‘gag order’ titah adendum ditolak di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang saksi menafikan beliau diarah secara terus oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho untuk memindah masuk wang berjuta-juta ringgit ke dalam dua akaun Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling juga tidak bersetuju mempunyai kaitan dengan lelaki itu atau dikenali sebagai Jho Low selama bertahun-tahun.

Sehubungan itu, beliau menafikan mereka-reka keterangan di mahkamah apabila menyatakan arahan perpindahan wang dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Sulit Kanan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Sebelum itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee menyatakan saksi itu mengenali Jho Low kerana pernah mempunyai hubungan profesional dengannya selama 10 tahun.

Ketika memberi keterangan pada 8 September lalu, Su Ling memberitahu, wang yang sepatutnya untuk projek kebajikan, dipindah masuk ke dalam akaun Najib atas arahan Azlin.

Beliau berkata demikian pada sesi pemeriksaan balas oleh Muhammad Farhan yang mewakili Najib pada perbicaraan saman SRC International Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri.

Su Ling merupakan saksi plaintif pertama dalam saman yang difailkan oleh SRC International untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.

Ketika memberi keterangan, Su Ling turut ditegur oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kerana membuat komen yang tidak sepatutnya ketika disoal balas oleh Muhammad Farhan.

Saksi berkenaan turut ditegur kerana berbalah pendapat dengan peguam berhubung isu identiti `kawan’ yang dibangkitkan dalam beberapa teks perbualan di antara beliau dan Joanna Yu.

Su Ling turut dilihat tidak berpuas hati apabila peguam menuduhya tidak jujur kerana menafikan penglibatan Jho Low dalam perpindahan wang tersebut.

Peguam: Saya cadangkan kepada kamu apabila Joanna merujuk perkataan `kawan kita’ (our friend), yang beliau maksudkan sebenarnya adalah Jho Low?
Saksi: Saya tidak tahu. Itu terpulang pada dia.

Peguam: Saya minta maaf, kamu tidak jujur kerana apabila beliau (Joanna) katakan `kawan’, ia sebenarnya merujuk kepada Jho Low.
Saksi: Saya tak tahu. Please lah. Saya tidak setuju.

Peguam: Jadi maknanya, `kawan’ yang dirujuk itu adalah Jho Low, bukan Datuk Azlin?
Saksi: Please lah. Saya tidak tahu.

Hakim: Jangan buat komen yang tidak sepatutnya.
Saksi: Saya minta maaf Yang Arif. Saya tidak bersetuju dengan peguam.

Perbicaraan bersambung 13 Oktober ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast