KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan gambaran yang diberikan dalam keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah tidak tepat.
Badan induk itu menjelaskan, dakwaan FIFA bahawa pemain “memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu” adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error) apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.
“FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini, dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook FAM di sini hari ini.
Awal pagi tadi, FIFA akhirnya mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Hasil semakan silang bersama pihak berkuasa pendaftaran awam luar negara menunjukkan bahawa individu yang dinamakan sebagai datuk atau nenek pemain terbabit bukan dilahirkan di Malaysia seperti dinyatakan dalam dokumen diserahkan kepada FIFA.
FIFA menjelaskan, semua maklumat ini disahkan melalui semakan rasmi dan tiada bukti sahih menunjukkan kaitan langsung dengan Malaysia.
Laporan itu turut menyebut bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder yang diterima, bukan berpandukan rekod kelahiran asal. – MalaysiaGazette
















