KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan punca keputusannya menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mengesahkan berlaku ketidaksepadanan dalam dokumen kelahiran asal yang dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain-pemain terbabit.

Menurut laporan “Notification of the Grounds of the Decision”, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Katanya, siasatan mendapati dokuman sokongan yang dikemukakan oleh FAM iaitu sijil kelahiran nenek dan datuk para pemain tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran pemain-pemain tersebut.

Berdasarkan “Notification of the Grounds of the Decision”, FIFA mendedahkan nenek dan datuk tujuh pemain berkenaan tidak dilahirkan di Malaysia, sekali gus berlaku ketidaktepatan maklumat yang diberikan kepada FIFA.

Malah, jelasnya, kesahihan maklumat ini telah disahkan menerusi rekod rasmi pendaftaran sivil di negara masing-masing.

Melalui semakan yang dibuat juga mendapati tiada bukti menunjukkan pertalian darah pemain-pemain terbabit dengan warisan mereka di Malaysia.

FIFA juga mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia sendiri mengakui tidak memiliki bukti jelas mengenai kelahiran asal di Malaysia bagi individu yang terlibat.

Tambahnya, siasatan itu menunjukkan nenek Gabriel Arrocha, María Belen Concepción Martín dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol.

Datuk pemain Facundo Garces dilahirkan di Villa María Selva, Santa Fé de la Cruz, Argentina.

Sementara itu, datuk Rodrigo Holgado iaitu Omar Eli Holgado Gardon pula dari Caseros, Buenos Aires, Argentina dan nenek Imanol Machuca pula dari Roldan, Argentina.

Datuk kepada Jon Irazabal, Gregorio Irazabal y Lamiquiz berasal dari Villa de Guernica y Luno, Viscaya, Sepanyol dan Viscaya, Sepanyol, dan datuk Hector Hevel Serrano yang bernama Hendrik Jan Hevel Serrano pula dilahirkan di The Hague, Belanda.

Tujuh pemain berkenaan beraksi dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan, termasuk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025.

Dalam perlawanan tersebut dua daripada pemain berkenaan menjaringkan gol.

Pada 26 September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah mengenakan sekatan ke atas FAM bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast