Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf kerana terlibat dalam sambutan champagne shower (semburan arak) semasa majlis penyerahan trofi kemenangan di Grand Prix Singapura, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kejadian itu berlaku secara spontan akibat sangat teruja meraikan kemenangan pasukan Mercedes- AMG PETRONAS Formula One pada musim ini.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu tular rakaman video daripada siaran langsung yang menunjukkan Tengku Muhammad Taufik turut terlibat dalam acara semburan arak ketika berada di atas podium Formula 1, Singapura, Ahad lalu.

Tindakan beliau mendapat kecaman dan kritikan banyak pihak yang menyifatkannya tidak sensitif terhadap statusnya sebagai orang Islam yang diharamkan meminum arak.

Tambahan pula, beliau berada di situ bukan atas kapasiti peribadi sebaliknya mewakili syarikat minyak dan gas negara, Petronas. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

CEO Petronas sepatutnya tinggalkan podium ketika ‘Champagne Shower’ – Armada

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast