Naib Canselor UMT bersama wakil EON Proton DRB-Hicom, Pusat Alumni UMT dan Persatuan Alumni UMT semasa Majlis Penyerahan Insentif Kewangan.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh jaringan strategik dengan industri apabila Pusat Alumni UMT menjalin kerjasama korporat bersama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON Berhad), pengedar rasmi kenderaan Proton di bawah kumpulan DRB-Hicom.

Simbolik pelancaran Insentif Alumni UMT–Proton Drive disempurnakan dalam satu majlis ringkas di Lobi Bangunan Canselori UMT oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, barisan pengurusan HEPA, serta Jawatankuasa Persatuan Alumni UMT (PAUMT).

Kerjasama yang dimeterai pada 10 Ogos 2025 itu turut mendapat sokongan EON Berhad melalui wakilnya, Mohd Khairul Hakimi  Mohd Nawi, Principal Dealer EON Kota Bharu yang juga Presiden PAUMT.

Program yang dikenali sebagai Corporate Offer Program for Alumni University Malaysia Terengganu by EON Proton
DRB-Hicom ini bertujuan memberi faedah eksklusif kepada alumni dan komuniti UMT dalam pemilikan kenderaan Proton, di samping menyumbang kembali kepada tabung kebajikan alumni universiti.

Dr. Mohd Zamri berkata, melalui inisiatif ini, alumni dan staf UMT yang membeli kenderaan Proton melalui EON Kota Bharu, Kelantan, terutamanya model Proton Saga serta model terpilih lain, akan menikmati rebat sebanyak RM4,000 dan penangguhan bayaran selama tiga bulan, yang dibiayai sepenuhnya oleh EON bernilai kira-kira RM1,500.

Lebih bermakna, bagi setiap unit Proton yang dibeli oleh alumni atau staf UMT, EON Berhad akan menyalurkan sumbangan RM500 kepada Pusat Alumni UMT untuk dimasukkan ke dalam tabung kebajikan alumni.

Tawaran istimewa ini terbuka kepada semua alumni dan staf UMT di seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.

Naib Canselor UMT dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kerjasama strategik ini yang dianggap sebagai satu model sinergi korporat universiti–industri yang memberi impak berganda.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pembeli, tetapi turut memberi nilai tambah kepada universiti melalui dana yang dikumpul untuk memperkukuh pelaksanaan aktiviti kebajikan serta pembangunan modal insan
alumni UMT,” ujar beliau.

Sejak pelancaran program ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan setakat ini, enam permohonan telah diterima dan dua unit kenderaan Proton telah berjaya dijual kepada alumni UMT.

Berdasarkan perjanjian kerjasama, Pusat Alumni UMT menerima insentif kewangan berdasarkan jumlah jualan kenderaan yang direkodkan.

Dua alumni terawal yang memanfaatkan program ini ialah Muhamad Firdaus Nazlan, Alumni Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian (2024) dan Nur Insyirah Izzati binti Zulkifli, Alumni Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) (2022).

Menurut Muhamad Firdaus inisiatif ini besar maknanya sebagai alumni yang sedikit sebanyak menyumbang kepada alumni universiti.

Tambahnya dia berharap lebih ramai alumni tampil untuk sama-sama untuk menyumbang kepada institusi pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast