Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap bahagian perolehan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan proses pengurusan kontrak dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, bahagian perolehan merupakan nadi utama kepada semua urusan kerajaan dan sering menjadi antara punca utama berlakunya kebocoran, penyelewengan serta pembaziran dana awam.

“Apa yang saya nak cadangkan kepada kerajaan adalah fokus kepada bahagian perolehan. Bahagian perolehan itu sudah menjadi punca kepada banyak masalah yang berlaku di sana.

“Jadi saya ingin cadangkan kepada kerajaan untuk meletakkan pegawai SPRM dalam bahagian perolehan setiap kementerian, setiap jabatan, setiap agensi kerajaan,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pada masa ini pegawai SPRM hanya diletakkan di peringkat kementerian secara umum dan bukan secara khusus di bahagian perolehan, sedangkan bahagian tersebut merupakan lokasi paling kritikal dalam menentukan kelulusan projek dan kontrak kerajaan.

“Pegawai SPRM kini hanya diletakkan dalam kementerian sahaja, bukan dalam bahagian perolehan. Bagi setiap bahagian perolehan, perlu ada lebih daripada dua orang dan bukan hanya seorang.

“Langkah itu penting kerana kegiatan tidak berintegriti dalam proses perolehan lazimnya bermula dari peringkat penyediaan spesifikasi projek sehinggalah kepada pelaksanaan kontrak.

“Kita tahu bahawa kontrak-kontrak sekarang begitu hebat sekali. Mereka boleh ‘paw’ daripada bawah sampai ke atas. Malah spesifikasi projek pun ada yang ditulis oleh pihak kontraktor sendiri,” tambahnya.

Tze Tzin turut mencadangkan agar SPRM menempatkan pegawainya secara penyamar (undercover) di bahagian perolehan bagi memantau dan meneliti setiap proses secara menyeluruh.

“Adalah perlu pegawai SPRM sama ada secara rasmi atau samaran diletakkan dalam bahagian perolehan. Perhatikan setiap proses dan buat tangkapan jika perlu,” tegasnya.

Beliau menegaskan, langkah itu amat penting bagi membendung pembaziran dana awam akibat rasuah dan salah urus kontrak yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan kerajaan membazir berjuta-juta atau berbilion ringgit dalam kontrak kerajaan. Akhirnya, projek sakit yang sengsara adalah anak-anak kita di sekolah dan keluarga angkatan tentera,” katanya.

Ahli Parlimen itu turut berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan tersebut dan menjadikannya dasar tetap dalam usaha memperkukuh reformasi tadbir urus awam agar setiap sen hasil negara digunakan secara berhemah dan telus demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiagGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast