KUALA LUMPUR – Seorang pengerusi kelab bola sepak menzahirkan rasa kecewa berhubung penggunaan dokumen palsu oleh tujuh pemain ‘warisan’ kelahiran luar negara untuk mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Pengerusi Kelab Bolasepak N Nine, Datuk Seri S Surash menyifatkan insiden itu sebagai tamparan besar kepada maruah bola sepak negara, apatah lagi apabila melibatkan pasukan kebangsaan yang sepatutnya menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia.
“Adakah logik kita tidak ada langsung pemain tempatan yang berbakat biasa? Mengapa tidak peruntukkan dana untuk mencari bakat-bakat ini dan kemudian latih mereka,” soalnya kepada MalaysiaGazette.
Beliau memberi komen susulan siasatan siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati dokumen kelayakan yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terbabit telah diubah suai.
Ini menyebabkan badan induk itu mengenakan denda dan penggantungan setahun terhadap pemain-pemain terbabit.
Menurut Surash, isu sebenar bukan sekadar soal dokumen atau teknikal pentadbiran, tetapi mencerminkan kegagalan memberi peluang kepada bakat tempatan yang telah lama berjuang di peringkat akar umbi.
“Kalau era dulu-dulu, zaman 80-an dan 90-an, yang main bola sepak hingga harumkan nama negara ialah anak jati tanah air Melayu, Cina, India semua ada. Kita menang besar di persada antarabangsa tanpa bantuan pemain luar,” katanya.
Beliau menambah, negara kini mempunyai banyak akademi bola sepak, sekolah sukan dan pusat latihan di setiap negeri, namun semua usaha itu tidak bermakna jika tempat pemain kebangsaan tetap diisi oleh pemain kelahiran luar.
“Mengapa kerajaan perlu habiskan jutaan ringgit untuk semua ini jika akhirnya mahu ambil juga pemain luar untuk skuad kebangsaan? Apakah mereka faham nilai patriotik itu?” katanya lagi.
Surash menjelaskan beliau tidak menentang penggunaan pemain import untuk kelab atau liga domestik, tetapi menegaskan bahawa skuad kebangsaan mesti diwakili anak tempatan kerana ia melibatkan maruah negara dan semangat patriotisme.
“Kita tidak kisah kalau beli pemain luar untuk kelab. Tapi ini pasukan kebangsaan. Ia hakikatnya perlu anak tempatan kita.
”Memalukan dan mengecewakan kerana impian bakat-bakat tempatan kita lebur begitu sahaja dan kini kita pula kena bayar denda kepada FIFA,” katanya dengan nada kecewa.

Sebagai Presiden sebuah kelab bola sepak di Negeri Sembilan, Surash berkata beliau melihat sendiri ramai anak muda berbakat di kawasan luar bandar dan Felda yang berpotensi besar jika diberi perhatian serta latihan mencukupi.
“Saya pernah tengok budak-budak kampung, Felda dan di ladang estate yang jaguh jika diberi peluang. Tidak perlu kita berjawab seperti ini dengan FIFA kalau kita beri kepercayaan kepada anak bangsa sendiri,” katanya emosi.
Surash menegaskan bahawa isu ini harus dijadikan pengajaran besar kepada FAM dan kerajaan, agar dasar pembangunan sukan bola sepak benar-benar berasaskan bakat tempatan, bukannya jalan pintas melalui pemain luar yang akhirnya menimbulkan aib di peringkat antarabangsa. -MalaysiaGazette
















