Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan para pemain warisan ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelak peraturan kelayakan telah dikemukakan oleh Persekutuan Bolasepak Antaraabngsa (FIFA) menerusi penghakiman penuh.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan mengemukakan rayuan berkata, semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu itu telah lengkap dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.

Menurutnya, segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

FAM yang mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

Pada 26 September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan sekatan ke atas FAM bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) dan  setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) selain digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Menurut kenyataan tu, pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.

Katanya, FAM berpendapat bahawa penggambaran itu adalah tidak tepat serta tidak adil dan perkara tersebut akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan. FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini.

“FAM juga ingin menegaskan bahawa kes ini melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan passport,” ujarnya.

Persatuan itu menjelaskan, selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

Berikutan itu, tambahnya, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut.

Oleh itu, katanya, ia hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes itu sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast