GEORGE TOWN – Tindakan pantas kapten bas RapidPenang memadam kebakaran pada bahagian enjin berjaya menyelamatkan kenderaan itu musnah sepenuhnya dalam kejadian di Terminal Bas Pangkalan Weld, di sini, hari ini.
Rapid Bus Sdn. Bhd. dalam kenyataan memaklumkan, insiden berlaku pada jam 10.10 pagi melibatkan bas laluan 301.
“Kapten bas bertugas segera menggunakan alat pemadam api dengan bantuan beberapa kakitangan di lokasi dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam beberapa minit.
“Tiada penumpang berada dalam bas semasa kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan,”katanya.
Tambah kenyataan itu, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan pihak RapidBus akan memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Komander Operasi BBP Lebuh Pantai, Muhammad Huzaini Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.50 pagi.
“Sebaik tiba, api telah dipadamkan oleh kapten bas. Susulan itu, kita melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















