Screenshot

KEPALA BATAS – Pelajar Tingkatan 1 hingga 4 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, diberi pelepasan awal untuk pulang bermula Rabu hingga 26 Oktober ini susulan usaha memutuskan rantaian jangkitan influenza dalam kalangan warga sekolah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi MRSM berkenaan.

Berdasarkan surat berkenaan, sepanjang tempoh tersebut semua pelajar yang terlibat akan mengikuti kelas pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Para ibu bapa dan waris pastikan anak-anak masing-masing mengikuti PdPR yang telah dijadualkan.

“Sama-sama kita putuskan rantaian influenza dan pelajar tingkatan 5 kelas seperti biasa,” tulis di laman rasmi Facebook MRSM berkenaan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan berapa jumlah pelajar atau kakitangan sekolah terbabit yang dijangkiti influenza.

Media sebelum ini melaporkan analisis terkini Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang menunjukkan kadar jangkitan Influenza di negeri ini masih terkawal.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, berdasarkan data daripada Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37 tahun ini, kadar Survelan Influenza Like Illness (ILI) berasaskan klinikal berada antara 9.5 hingga 10.5 peratus tanpa sebarang peningkatan ketara.

“Survelan berasaskan makmal pula mencatat sedikit peningkatan kadar positif iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus dengan Influenza A kekal sebagai strain dominan.

“Namun kadar ini masih lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2024 yang mencecah antara 35.6 hingga 51.1 peratus,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast