KUALA LUMPUR – Wanita warga emas yang tular tidak mempunyai tempat tinggal dan berkeliaran di sekitar kawasan Restoran Al-Ibrahim Maju, Lorong Haji Taib, di sini telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, 6 Oktober lalu iaitu hari yang sama berita itu tular.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan hari ini berkata, wanita berkenaan adalah seorang rakyat Malaysia berbangsa Melayu.
“Hasil siasatan awal mendapati individu berkenaan berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu berjalan sendiri di mana pergerakannya hanya boleh dilakukan dengan bantuan kerusi roda.
“Difahamkan sebelum ini, penama dijaga oleh seorang rakan namun telah ditinggalkan sejak minggu lalu,” kata JKM.
Tambahnya, wanita tersebut juga telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan mendapati status kesihatannya adalah stabil.
Dia kemudiannya dibawa ke Rumah Seri Kenangan untuk penjagaan sementara selama 24 jam.
Bagi tujuan pencegahan dan kawalan kesihatan, dia ditempatkan secara berasingan daripada penghuni lain.
Pada 7 Oktober 2025, atas inisiatif pegawai JKM WPKL, wanita berkenaan telah dirujuk dan dibawa ke Institut Perubatan Respiratori bagi pengesahan lanjut status kesihatan.
Hasil pemeriksaan mendapati dia telah sembuh secara klinikal daripada sakit tibi namun masih perlu menjalani rawatan susulan dari semasa ke semasa.
Menurut JKM, wanita tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 bagi penempatan di Rumah Seri Kenangan Seremban selama tempoh sebulan.
Sepanjang tempoh tersebut, JKM akan menjalankan pencarian waris, pemeriksaan kesihatan lanjut, penempatan serta kerja kes susulan bagi menentukan bentuk intervensi dan tindakan yang sesuai demi kebajikannya.
JKM ingin menasihatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kes kebajikan supaya tindakan segera dapat ditangani dengan sewajarnya melalui pelbagai platform rasmi seperti Talian Kasih 15999; aplikasi WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999; emel [email protected]; atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat di Negeri dan Daerah yang berdekatan. -MalaysiaGazette
















