Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 OGOS 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperkukuh langkah strategik bagi memastikan keselamatan siber negara sentiasa terjamin di negara ini.

Langkah ini khususnya dalam menghadapi ancaman baharu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan jenayah atau dikenali sebagai Weaponized AI.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan, Weaponized AI merujuk kepada penyalahgunaan teknologi AI bagi tujuan menyerang, menipu atau menjejaskan keselamatan pihak lain, termasuk melalui deepfake, serangan siber automatik, penyebaran maklumat palsu dan penipuan kewangan pintar.

“Antara bentuk utama Weaponized AI termasuk penggunaan teknologi deepfake untuk pemerasan, serangan phishing automatik yang lebih meyakinkan, penipuan menggunakan suara tiruan, dan penyebaran propaganda digital yang menggugat kestabilan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Gobind, beberapa insiden yang dikesan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi AI dalam jenayah siber.

Antara kes yang dilaporkan termasuk penipuan deepfake untuk pemerasan seksual (sextortion), scam dengan suara tiruan (voice cloning), dan eksploitasi data peribadi hasil kebocoran maklumat.

“Sindiket kini menggunakan kecerdasan buatan untuk menghasilkan panggilan dan mesej palsu yang amat meyakinkan, menyebabkan lebih ramai mangsa tertipu melalui kaedah penipuan digital moden,” ujarnya.

Bagi menangani cabaran itu, Gobind menegaskan, kerajaan mengambil pendekatan bersepadu merangkumi aspek perundangan, tadbir urus, dan kawal selia teknologi digital.

Antara langkah utama termasuk pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) bagi melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara serta pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang kini mewajibkan pelaporan insiden pelanggaran data.

Selain itu, kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang akan menjadi undang-undang utama menangani jenayah siber di bawah kawal selia Majlis Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Gobind turut memaklumkan, Kementerian Digital kini sedang menggubal undang-undang khusus berkaitan penggunaan AI yang bertanggungjawab.

Ini seiring dengan pelancaran Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) yang berteraskan tujuh prinsip utama termasuk keadilan, keselamatan, ketelusan dan kesejahteraan manusia.

“Langkah strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengawal selia penggunaan AI dengan berasaskan undang-undang dan etika demi melindungi keselamatan siber negara serta mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap agenda digital Malaysia,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast