GEORGE TOWN – Seorang pekerja swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita yang dikenalinya pada Ahad lalu.
David Lau Heng Seng, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol wanita berusia 24 tahun itu di sebuah bilik hotel dalam daerah Timur Laut, jam 12.15 tengah malam, pada 5 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, Teh See Khoon bersama K. Sagana yang mewakili tertuduh, dalam rayuan mitigasi memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka baru bekerja selepas menamatkan pengajian.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 12 November depan.
Difahamkan, mangsa merupakan pelajar kolej dan datang dari Kuala Lumpur untuk bercuti di negeri ini. – MalaysiaGazette
















