Kim Choo menunjukkan gambar kenangannya ketika berkhidmat dalam pasukan.

GEORGE TOWN Dalam usia mencecah 103 tahun, langkahnya mungkin sudah perlahan namun semangat yang membakar dalam diri Ang Kim Choo masih kekal sepertimana beliau berkhidmat sebagai anggota polis wanita lebih tujuh dekad lalu.

Dilahirkan pada 1922, Kim Choo merupakan antara wanita Cina terawal yang berani menyarung pakaian seragam polis sebagai Konstabel Khas (Special Constable) ketika negara sedang bergelut dalam era darurat menentang ancaman komunis.

Menjadi ibu tunggal kepada lima anak selepas kehilangan ibu bapa pada usia muda, Kim Choo memikul dua beban dalam membesarkan anak-anak serta menyumbang kepada keselamatan negara.

“Salah satu tugas saya dulu ialah jaga budak-budak sekolah yang nakal, gengster bergaduh sesama sendiri. Ada ketika mereka (pelajari lari ke hutan dan kami perlu bawa mereka kembali ke sekolah.

“Saya kerja polis tidak lama tapi itu masa paling bermakna dalam hidup saya,” katanya dalam nada perlahan namun penuh bangga.

Kim Choo dirai sempena hari lahirnya yang ke-103 semalam.

Semalam, sosok wanita kecil dari Kulim, Kedah itu diraikan dalam satu majlis oleh Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-103.

Hadir sama, Pengerusi MCPF, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Ketika ditanya rahsia umur panjang, Kim Choo mengakui tidak punya formula khusus.

“Semua makanan saya makan. Melayu, Cina, India… semua sedap. Saya paling suka kuih manis. Kalau nampak atas meja, memang susah nak tolak.

Kim Choo bersama anak sulungnya, Yeoh Saw Gaik, 83.

“Tapi paling penting untuk kita sihat, hidup aman adalah jalani kehidupan yang baik serta hargai kepelbagaian bangsa di negara ini,” katanya sambil menggenggam tangan anak sulungnya, Yeoh Saw Gaik, 83.

Sementara itu, Johnny Ch’ng menyifatkan Kim Choo sebagai lambang keberanian dan semangat patriotik yang wajar dicontohi generasi muda.

“Beliau adalah ikon. Bukan mudah bagi wanita dalam pasukan keselamatan ketika zaman darurat. Keberanian dan ketabahan beliau patut dijadikan teladan, khususnya kepada masyarakat Cina,” katanya.

Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Johnny yang juga Pegawai Penyelaras Pasukan Simpanan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) berharap lebih ramai belia Cina tampil menyertai pasukan simpanan polis sebagai satu bentuk khidmat kepada negara.

“Sumbangan kepada negara tidak semestinya dalam bentuk keberanian tapi meneruskan asas keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast