SERI KEMBANGAN – Kesemua 145 aktivis termasuk sembilan delegasi Malaysia misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTG) sudah dipindahkan ke penjara Ketziot, Negev, Israel setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shahrul Anwar berkata, kesemua peserta misi kemanusiaan itu berada dalam keadaan selamat walaupun pada awalnya mereka berdepan tindakan keganasan daripada tentera Israel.
“Setakat ini, peguam melaporkan kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TMTG telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
“Peguam juga mengesahkan kesemua 145 aktivis FCCxTMTG telah dipindahkan ke Penjara Ketziot, Negev, Israel. Peguam juga telah berjumpa dengan bahagian delegasi dan proses guaman masih berlangsung.
“Ada yang mengalami keganasan semasa pemintasan, peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini nanti (waktu tempatan),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Humanitarian Care Malaysia Berhad di sini hari ini.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Menurut Kamarul Zaman, peguam MyCARE sudah berjumpa dengan sebahagian besar delegasi Malaysia malam semalam dan dua lagi akan ditemui sebaik sahaja penjara Ketziot dibuka, pagi ini.
“Setakat ini, laporan kami terima delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat, Alhamdulillah dan tujuh dari mereka telah bertemu dengan peguam, dua lagi tak sempat pagi ini (awal petang) Insya-Allah untuk urusan guaman selanjutnya,” katanya.
Selain itu, kata beliau, peguam MyCARE menuntut kepada pihak penjara Ketziot agar membenarkan mereka menghadiri semua perbicaraan tribunal yang dijangka berlangsung, kira-kira dua hari lagi.
“Perbicaraan tribunal akan berlangsung dalam tempoh dua hari dari sekarang. Kita tahu ada tiga ahli Parlimen Turkiye dan kita tahu urusan pengusiran telah diuruskan oleh Wisma Putra, iaitu Menteri Luar kita malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun terlibat yang telah menghubungi rakan sejawat masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kemungkinan tiga delegasi misi kemanusiaan itu terdiri daripada ahli Parlimen Turkiye akan dihantar pulang malam ini atau selewat-lewatnya, pagi Jumaat.
“Presiden Turkiye, Recip Tayyip Erdogan telah dihubungi Menteri Luar Turkiye juga telah dihubungi oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Urusan pemulangan sedang diuruskan, cuma kita belum ada maklumat terkini berkaitan perkara tersebut sehingga peguam dalam bertemu dengan semua dan pengusiran dapat dilaksanakan Insya-Allah,” katanya.
Ditanya tentang kemungkinan kecederaan akibat tindakan agresif tentera laut Israel ketika kesemua sembilan kapal dipintas, Kamarul Zaman berkata, beliau tidak mempunyai perincian setakat ini.
“Oleh kerana peguam tidak dibenarkan bawa masuk telefon ke dalam (penjara). Daripada segi kecederaan, perincian kita tak ada maklumat setakat ini. Dua delegasi kata layanan keras, berapa keras, kita tak tahu.
“Alhamdulillah mereka selamat, mungkin keganasan dari sudut rampasan barang-barang, ternampak dia ambil, baju Palestin dia cabut.
“Semua itu perkara biasa, cuma perincian dari segi kecederaan kalau ada atau tidak, wallahualam kita belum dapat maklumat terkini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















