KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membina kerangka yang menyokong ekosistem pelaksanaan kaunseling sekiranya tidak mahu melaksanakan hukuman rotan di sekolah.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, adalah tidak memadai untuk KPM sekadar menolak gesaan supaya hukuman rotan dilaksanakan semula tanpa perancangan membina ekosistem kaunseling yang turut melibatkan ibu bapa.
Menjelaskan lebih lanjut, menurutnya, berbeza dengan hukuman rotan, kaedah kaunseling secara psikologi dan emosi untuk menyelesaikan isu disiplin menuntut masa yang panjang dan berterusan.
Ujar beliau, ia melibatkan pelbagai sesi seperti mengenal pasti masalah individu murid, sesi intervensi dan sesi pemantauan.
Kaedah itu pula hanya berkesan dalam persekitaran semua pihak memberikan sokongan dan menjalankan peranan masing-masing untuk membantu murid.
Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya mahu menggunakan kaedah kaunseling dan tidak mahu merotan, peranan bukan hanya melibatkan kauselor di sekolah tetapi para ibu bapa di rumah juga mesti berfungsi mendisiplinkan anak-anak.
Jika tidak, tegas beliau, kaedah kaunseling semata-mata bagi menggantikan hukuman rotan tidak akan berjaya.
“Ambil contoh mudah. Murid-murid ditangkap kerana menghisap vape di tandas sekolah maka sebagai hukuman diberikan kaunseling oleh kaunselor di sekolah.
“Tetapi bila mereka balik ke rumah, mereka lihat ayah mereka begitu asyik hisap vape di ruang tamu sambil menonton tv!!
“Baru nak rasa insaf kena kaunseling pasal hisap vape, balik rumah lihat asap vape berkepul di ruang tamu.
“Hilang terus keinsafan. Lupa terus nasihat guru kaunselor. Kaunseling gagal,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, hukuman berbentuk rotan dilihat bukan jalan penyelesaian dalam mengatasi isu buli atau permasalahan berkaitan disiplin pelajar.
Sebaliknya, kata Fadhlina, pihaknya menekankan pendekatan lebih menyeluruh dan holistik termasuk aspek pendidikan bagi membendung gejala buli di sekolah.
Terdahulu, beberapa pihak mencadangkan KPM mempertimbangkan semula pendekatan hukuman rotan dalam mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar khususnya berkait kes buli.
Sementara itu, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM menegaskan, sekiranya ekosistem di rumah tidak berfungsi, maka program kaunseling di sekolah juga pasti akan gagal.
Dalam keadaan seperti itu, jelasnya, adalah lebih baik untuk hukuman rotan dikembalikan di sekolah dengan garis panduan sedia ada.
“Sejarah sejak sebelum merdeka telah membuktikan hukuman merotan berkesan untuk mengekang isu disiplin walaupun kaedah rotan itu sendiri bukanlah jalan penyelesaian terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette
















