Skuad SUKMA Johor meraih pengalaman berharga menentang pasukan bertaraf antarabangsa sempena SOJC 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya bermula Sabtu, 11 Oktober ini.

JOHOR BAHRU – Jurulatih skuad remaja Johor, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar tetap berpuas hati dengan prestasi yang diperagakan anak buahnya biar pun tewas di tangan nama besar, Great Britain dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Rabu baru-baru ini.

Menurutnya, para pemain tidak berasa gentar sebaliknya menunjukkan corak permainan terbaik meskipun berdepan dengan status pasukan lawan bertaraf dunia.

Skuad yang dibentuk untuk mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 itu tewas 0-8 dalam aksi persahabatan pertama menentang skuad Malaysia pada 7 Oktober lalu.

“Apabila melihat daripada aspek fizikal, pasukan lawan lebih baik. Namun para pemain tidak berasa janggal, sebaliknya mereka memberi saingan sengit dan prestasi mereka juga meningkat berbanding ketika berdepan skuad negara,” katanya.

Mohd Nor Aqmal

Dalam aksi itu, skuad remaja Johor tersebut tewas 0-2 menerusi aksi yang berlangsung selama setengah jam berselang 10 minit dengan dua kali rehat.

Malah kedua-dua pasukan turut melakukan penalti shoot out dan pukulan penalti.

Mohd Nor Aqmal menyifatkan kedua-dua aksi tersebut sangat berharga buat para pemain untuk menimba pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

Malah aksi pemanas badan tersebut menjadi medan terbaik buat skuad untuk memperkasa pasukan menuju SUKMA Selangor 2026.

“Secara idealnya, kami mengharapkan kejohanan sebegini dapat diadakan setiap tahun, kerana ia dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan bawah 21 tahun Johor,” katanya.

SOJC 2025 yang memasuki edisi ke-13 dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.

Selain tuan rumah Malaysia dan Great Britain, kejohanan edisi kali ke-13 itu turut disertai Pakistan, India, New Zealand dan Australia.

Skuad remaja Johor itu juga dijadual menentang New Zealand, Pakistan dan India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast