KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan belia secara holistik melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kerajaan bukan sahaja menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) malah turut memperkenalkan pelbagai langkah yang memberi manfaat langsung kepada golongan muda di seluruh negara.
“Kerajaan memperlihatkan komitmen tinggi terhadap pembangunan belia bukan sahaja melalui peruntukan kepada KBS tetapi juga melalui pelbagai inisiatif yang menyentuh keperluan sebenar anak muda hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen hari ini.
Antara inisiatif berkenaan termasuk peningkatan peruntukan kepada program Rakan Muda daripada RM25 juta kepada RM40 juta, penyediaan kemudahan kredit perniagaan melalui berjumlah RM150 juta bagi membantu belia memulakan perniagaan.
Selain itu, peruntukan RM120 juta untuk menampung yuran pendidikan bagi golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Langkah tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan belia yang lebih menyeluruh dan inklusif dalam pelbagai aspek bukan sekadar melalui program-program di bawah KBS semata-mata.
“Kita juga puji dan rasa lega apabila kerajaan terus komited memastikan defisit fiskal berada dalam trend menurun. Ini adalah usaha penting untuk mencapai belanjawan yang sihat dan seimbang demi pembangunan yang mampan dalam negara,” tambahnya.
Adam Adli turut menzahirkan rasa syukur kerana meskipun berdepan cabaran ekonomi global, kerajaan masih mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta mengimbangi antara perbelanjaan operasi dan pembangunan.
“Kita harap peruntukan dalam Belanjawan 2026 ini dapat dimanfaatkan oleh semua golongan. Kita dapat lihat usaha dan keprihatinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam memastikan setiap sektor mendapat perhatian sewajarnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















