KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut SPRM, belanjawan kali ini menzahirkan komitmen serius kerajaan untuk memperkukuh integriti, membanteras rasuah, serta menutup ruang ketirisan hasil negara demi kesejahteraan rakyat.
“SPRM menyambut baik penegasan kerajaan bahawa rasuah, penyelewengan dan ketirisan amat merugikan negara. Tindakan tegas penguatkuasaan tanpa pilih kasih yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun membuktikan keberkesanan tindakan bersama agensi-agensi penguatkuasaan,” kata SPRM dalam kenyataan.
Sehubungan itu, pihaknya amat menghargai langkah kerajaan memperuntuk lebih RM700 juta bagi memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan termasuk SPRM khususnya dalam aspek latihan dan perolehan aset.
SPRM turut menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan serta pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang merupakan reformasi institusi penting bagi menambah baik sistem perolehan dan memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
Selain itu, SPRM turut menyambut baik cadangan untuk meluluskan potongan cukai bagi sumbangan kepada program pencegahan rasuah yang diiktiraf SPRM sebagai projek berkepentingan nasional.
“Inisiatif ini bakal membuka ruang kerjasama yang lebih erat dengan masyarakat sivil dan pihak swasta, seterusnya menggalakkan penglibatan rakyat dalam agenda pencegahan rasuah,” kata kenyataan yang sama.
SPRM menegaskan komitmennya untuk melaksanakan mandat secara bebas, telus dan profesional melalui pendekatan pendidikan, pencegahan serta penguatkuasaan.
Seiring aspirasi Belanjawan MADANI 2026, SPRM yakin dengan sokongan rakyat, budaya integriti dapat diperkukuh, tatakelola baik dapat dipertingkatkan dan usaha pembanterasan rasuah terus diperkasa demi kesejahteraan dan faedah rakyat. – MalaysiaGazette















