KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 301 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Bomba dan Penyelamat Bangi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas pada jam 2.03 pagi.
“Setiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta terbabas dan melanggar pembahagi jalan dengan empat mangsa berbangsa India, masing-masing berusia lingkungan 20-an.
“Dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM,” katanya.
Operasi menyelamat turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang.
Semua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan pasukan perubatan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















