KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan berkaitan (GLIC) kerajaan terus memangkin pelaburan domestik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026, beliau berkata, GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP meningkatkan pelaburan dalam negara kepada RM30 billion berbanding RM25 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi memacu pengembangan sektor strategik, pelaburan
GLIC akan menyokong syarikat atau pasaran tempatan di peringkat pertumbuhan.
Umpamanya, KWAP menyediakan RM1.2 bilion Dana Pemacu bagi membuat pelaburan bersama dengan
pengurus dana swasta (co-GP) untuk membiayai syarikat atau pasaran yang sedang berkembang dalam sektor
seperti peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan ekonomi digital.
Program Syarikat Mid-Tier Khazanah pula menyediakan pembiayaan RM250 juta untuk membina keupayaan
syarikat peringkat pertengahan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Anwar berkata, ekosistem startups turut diperkukuh.
Pada masa ini, startups menyumbang RM1 bilion kepada KDNK dan menjana 82,000 peluang pekerjaan.
Selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia, pelaburan Dana Perintis KWAP dan Jelawang Capital Khazanah ditingkatkan kepada RM750 juta berbanding RM550 juta.
Cradle Fund dengan dana RM55 juta akan melaksanakan Program Pelaburan Ekuiti serta Bengkel
Inovasi GLC yang diperluas kepada sektor swasta.
Tambah beliau, kerajaan turut bercadang menambah baik galakan cukai modal teroka sedia ada untuk tempoh 10 tahun melalui kadar cukai khas dan pengecualian cukai dividen.
Kerajaan juga akan melipatgandakan sokongan dalam sektor bernilai tinggi dengan RM200 juta Dana Pelaburan Bersama Strategik akan menyediakan dana padanan kepada PKS dan syarikat pertengahan yang mengukuhkan rantaian bekalan sector utama melalui platform Pendanaan Ekuiti (ECF) dan Pembiayaan Rakan Setara (P2P).
Sejumlah RM180 juta Dana Pembangunan Industri NIMP bagi membiayai program pembangunan industri di bawah sector berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, AI, digital dan kelestarian.
Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM500 juta dalam ekosistem semikonduktor dalam usaha meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional.
Di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti R&D, terutamanya oleh syarikat tempatan yang menyokong ekosistem E&E.
Malaysia juga akan meluncurkan SemiconStart iaitu program inkubator oleh MTDC dengan kerjasama inkubator global bagi membantu syarikat mula niaga peringkat awal mendapatkan bimbingan, akses pembiayaan global, penyediaan prototaip pada harga diskaun dan rangkaian pelanggan. – MalaysiaGazette
















