SEBERANG JAYA – Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tragis dengan leher dikelar dan tangan diikat sebelum disumbat ke dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth semalam, telah dikenal pasti.
Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, selepas bapanya hadir menjalani proses pengecaman di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 9 pagi tadi.
Berdasarkan tinjauan, lelaki warga emas itu dilihat keluar dari unit forensik dalam keadaan sebak, sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga serta kenalan bahawa mayat tersebut adalah anaknya.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media dan turut memohon agar wajah ahli keluarganya tidak dirakamkan ketika berada di hospital.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans telah dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 8 Oktober lalu selepas keluar ke Perlis untuk urusan kerja namun gagal dihubungi.
Susulan itu, bapanya yang berusia 69 tahun dan bekerja sebagai peniaga tampil membuat laporan polis.
Artikel berkaitan:
Mayat lelaki dikelar, tangan diikat ditemui dalam bagasi belakang flat
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang pekerja penyelenggaraan menemui bagasi berisi mayat lelaki di kawasan flat berkenaan sekitar jam 1.43 petang sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Pemeriksaan mendapati terdapat mayat lelaki di dalamnya dalam keadaan kesan kelar di leher, tangan diikat selain muka diserkup plastik dipercayai baru dibunuh berdasarkan keadaan fizikal.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terlibat serta motif pembunuhan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung identiti mangsa oleh pihak polis. – MalaysiaGazette
















