Foto FB Barack Obama

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji pengumuman fasa pertama pejanjian damai di antara Israel dan Hamas selepas dua tahun berlakunya perang di Gaza.

Katanya, semua pihak harus berasa lega kerana pengakhiran kepada konflik tersebut semakin hampir.

Dalam masa sama katanya, penderitaan tebusan dan keluarga mereka juga akan berakhir dan bantuan penting akhirnya dapat disalurkan kepada penduduk Gaza yang kehidupannya telah musnah.

“Lebih daripada itu, kini terpikul tanggungjawab kepada rakyat Israel dan Palestin, dengan sokongan Amerika Syarikat serta seluruh komuniti dunia untuk memulakan tugas sukar membina semula Gaza.

“Berikrar kepada satu proses yang, dengan mengiktiraf kemanusiaan bersama serta hak asasi kedua-dua pihak, dapat mencapai keamanan yang berkekalan,” kata Obama menerusi hantaran di media sosial beliau.

Kumpulan Palestin Hamas pada awal Khamis mengumumkan persetujuan mereka terhadap fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sambil menghargai usaha beliau bersama Turkiye, Qatar dan Mesir, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Hamas mengumumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai yang merangkumi penamatan serangan di Gaza, pengunduran tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan di Telegram.

“Kami amat menghargai usaha negara-negara pengantara di Qatar, Mesir dan Turkiye. Kami juga memuji usaha Presiden AS Donald Trump yang bertujuan menamatkan konflik secara menyeluruh serta memastikan pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza,” tambah kenyataan itu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast