GOMBAK – Lebih 200 individu dari Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghadiri himpunan bagi menuntut keadilan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat daripada cengkaman rejim Zionis.
Presidennya, Ali Karimi Mohd Nasri berkata, himpunan yang turut dihadiri hampir 20 persatuan pelajar antarabangsa juga memberi mesej jelas kepada dunia bahawa mahasiswa lantang dan tegas serta berani menolak untuk terus diabaikan.
“Alhamudlilah, himpunan hari ini dapat kumpulkan ramai pelajar dari pelbagai negara seperti Bangladesh, India, Turkiye, Pakistan, Indonesia, Afrika dan banyak lagi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care.
“Ia bertujuan mengingatkan kepada semua pelajar termasuk antarabangsa bahawa isu Palestin tidak berakhir walaupun gencatan senjata sudah dicapai kerana kita tidak boleh mempercayai Israel termasuk perjanjian dan sebagainya.
“Kita akan terus menganjurkan derma kepada Palestin untuk membantu saudara dan kawan yang dalam persatuan kita terkesan akibat kebuluran dan kelaparan dengan menghantar bekalan makan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Himpunan Solidariti bersama Palestin Bermaruah di Fountain, Masjid UIAM Gombak di sini hari ini selepas solat jumaat yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Perhimpunan itu juga menampilkan wakil-wakil pelajar pelbagai negara dengan ucapan semangat, laungan untuk terus berdiri teguh serta memberi tekanan sehingga keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin diiktiraf.

Sementara itu, Zulkifli yang ditemui menyambut baik himpunan itu dan ia merupakan inisiatif yang perlu dilaksanakan di semua universiti di seluruh negara untuk memupuk semangat solidariti kepada Palestin.
“Saya ucapkan tahniah pada Kesatuan Pelajar UIAM kerana inisatif yang sangat baik dan dan ada beberapa universiti juga menganjurkan program sama, jelas menunjukkan gelombang kesedaran dan kecagnaan terhap isu Palestin semakin membara.
“Sebenarnya kita mengajak semua melakukan apa yang terdaya untuk saudara kita di Palestin dan diperingkat kerajaan, kita bantu sebaiknya daripada diplomasi dan penajaan pelajar Palestin serta bantuan untuk pembinaan semula Gaza dan sebagainya.,” uajrnya.
Tambah beliau, perkara yang lebih penting ketika ini adalah meningkatkan kesedaran terhadap isu Palestin pada bukan Islam supaya isu kemanusiaan bukan lagi isu eksklusif untuk orang Islam. – MalaysiaGazette
















