BUTTERWORTH – Polis menemui petunjuk baharu dalam siasatan kes pembunuhan kejam melibatkan seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah bagasi di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, di sini, semalam.
Perkembangan terbaharu itu susulan penemuan sebuah kereta jenis Toyota Vios bernombor pendaftaran PPP3135, yang dipercayai dipandu mangsa, Lee Boon Han, 31, sebelum dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 8 Oktober lalu.
Kereta tersebut ditemui hari ini, kira-kira 450 meter dari lokasi penemuan mayat mangsa.
Terdahulu, pihak polis termasuk pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan kereta tersebut.
Difahamkan, pihak polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari stesen pemindahan sampah berhampiran bagi membantu siasatan.
Kereta tersebut kemudiannya ditunda ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, bapa mendiang, Lee Eng Tong memohon ruang bagi menjalani tempoh berkabung serta enggan ditemu bual lanjut.
“Saya mohon ruang dan biar pihak polis jalankan siasatan,” katanya sambil menambah mangsa merupakan anak tunggalnya.
Terdahulu, mayat mendiang dituntut keluarga dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya dibawa ke Rumah Pengebumian United Hokkien, Paya Terubong bagi upacara berkabung dan pembakaran dijadualkan pada hari Ahad ini di Krematorium Batu Gantung di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
Identiti lelaki dikelar, disumbat dalam bagasi sudah dikenal pasti
MalaysiaGazette hari ini melaporkan identiti lelaki yang ditemui dalam keadaan tragis dengan leher dikelar dan tangan diikat dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, 31 tahun.
Ia susulan bapanya hadir melakukan proses pengecaman di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 9 pagi tadi. – MalaysiaGazette















