Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menerima peruntukan RM21.7 bilion sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima RM21.2 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan ini melibatkan RM6 bilion untuk menyelenggara dan membeli aset pertahanan.

Ia termasuk perolehan baharu bagi medium, short dan very short range air defence, dua buah multi role support ship dan 10 kenderaan MALBATT.

Sejumlah RM1 bilion bagi menyelenggara dan membeli aset PDRM dan badan beruniform di bawah KDN termasuk perolehan 100 buah pickup 4×4 untuk risikan dan operasi Polis Diraja Malaysia, empat bot ronda Fast Patrol Vessel, Pasukan Polis Marin dan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lebih RM1.5 bilion untuk membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan kos antaranya Kompleks APMM Negeri di Tok Bali, Kelantan; IPK Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik, Perak; Pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin, Labuan; Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah; Pusat Latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Selain itu, naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri, Sarawak; bangunan tambahan Batalion 23, PGA Sri Aman, Sarawak; tiga Pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasian pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu.

Syarikat dianugerahkan kontrak perolehan Mindef, melalui skim PROTÉGÉ akan menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran dan di samping memberi latihan sijil dan diploma kepada angggota ATM sebelum bersara.

Ini termasuk pembiayaan program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast