MoU dimeterai di antara Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Adrian Marcellus, dan wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkić.

KUALA LUMPUR – MyDIGITAL Corporation dan United Nations Development Programme (UNDP) menjalinkan kerjasama rasmi memperkukuhkan agenda keterangkuman digital negara menerusi pembangunan Inisiatif Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD).

Kementerian Digital berkata, kerjasama tersebut memastikan transformasi digital dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif, mampan dan berteraskan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara digital terkemuka menjelang tahun 2030.

“Majlis ini menzahirkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk merapatkan jurang digital serta menggalakkan akses saksama terhadap peluang digital di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Kementerian Digital memaklumkan kerjasama tersebut dimeterai melalui Majlis Kunjungan Hormat dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di MyDIGITAL Corporation, Menara PjH,
Putrajaya semalam.

Jelasnya, MoU berkenaan menandakan pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi digital yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Melalui kerjasama ini, MyDIGITAL Corporation dan UNDP akan memperkukuh rangka kerja DIIM, memastikan ia berfungsi sebagai panduan dan kayu pengukur komprehensif dalam menangani jurang digital di negara ini,” tambahnya.

Sebagai rekod, inisiatif DIIM merupakan salah satu usaha utama MyDIGITAL Corporation untuk memantau dan memupuk akses saksama terhadap peluang digital merentasi semua segmen
masyarakat.

Ia bukan sahaja menilai aspek hubungan dan capaian tetapi turut merangkumi aspek mampu milik, kemahiran dan bakat digital, dasar-dasar berkaitan digital serta tahap penggunaan digital dalam kalangan kerajaan, perniagaan dan rakyat.

Mengulas lanjut, kerjasama tersebut juga dalam masa yang sama mengukuhkan peranan MyDIGITAL Corporation sebagai agensi peneraju dalam memacu dan memantau pelaksanaan inisiatif ekonomi digital negara di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN) yang menekankan pertumbuhan digital secara inklusif dan mampan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast