Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Seorang pelajar lelaki tingkatan dua cedera selepas didakwa ditumbuk pelajar senior ketika perlawanan bola sepak di sebuah sekolah, di Terengganu, awal September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 1.50 pagi, 4 September, yang memaklumkan anaknya dipukul ketika menyertai perlawanan bola sepak antara pelajar baharu dan senior.

“Hasil siasatan mendapati pelajar senior di sekolah sama menumbuk mangsa sehingga mengalami kesan calar dan lebam.

“Mangsa telah dirujuk ke hospital untuk rawatan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius atau kekal,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak sekolah turut mengambil tindakan dalaman terhadap pelajar senior terbabit.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,  dan menerima arahan untuk tidak melakukan pendakwaan kerana kejadian berlaku dalam perlawanan bola sepak serta tindakan disiplin telah diambil oleh pihak sekolah,” ujarnya.

Azli berkata, siasatan penuh telah dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak menjadikan kejadian itu sebagai bahan untuk meraih publisiti atau kepentingan peribadi, sebaliknya menggunakan saluran undang-undang yang betul untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast