GEORGE TOWN – Seorang pengutip besi buruk mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak seorang wanita warga Sepanyol, pada bulan lalu.
Tertuduh, N. Kannan, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak Sheyla Rodriguez Navarro, 26, di hadapan sebuah premis di Lorong Aboo Sittee, kira-kira jam 6.15 pagi, pada 30 September lalu.
Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan kehilangan pasport dan wang tunai sebanyak euro 200 (RM990).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan, namun memohon sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, ia ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Juraidah kemudian bertanya sama ada tertuduh mempunyai sesiapa untuk menjaminnya, namun Kannan menjawab tiada selain mengulangi pengakuan bersalah terhadap pertuduhan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 12 November untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh mengisi borang bantuan guaman di bawah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Difahamkan, ketika kejadian tertuduh sedang mencari besi buruk untuk dijual bagi membeli bekalan dadah.
Bagaimanapun, dia terserempak dengan mangsa lalu merompak beg tangannya. – MalaysiaGazette
















