pihak polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari stesen pemindahan sampah berhampiran bagi membantu siasatan. #malaysiagazette

JOHOR BAHRU – Menyasarkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura manakala transaksi wang menggunakan akaun bank yang berdaftar di republik itu.

Itu merupakan taktik utama along untuk mencari mangsa dalam menjerat mereka untuk meminjam wang sebelum diugut dan diancam apabila tidak melunaskan hutang.

Kemudian along terbabit akan mengupah ahlinya sebanyak RM1,000 bagi setiap perbuatan khianat dengan api dan RM550 bagi khianat simbah cat termasuk menampal notis ugutan di rumah mangsa.

Bagaimanapun modus operandi itu terbongkar selepas pasukan dari Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama-sama IPD Kulai melakukan tangkapan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tiga individu termasuk seorang wanita ditahan kerana menjadi dalang along atau orang suruhan bulan lalu.

“Semua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini dan Kluang antara 4 September lalu hingga 7 September lalu.

“Mereka menerima upah daripada along dan dalam serbuan ini polis merampas sebuah kereta, sebuah motosikal, telefon bimbit, botol berisi minyak petrol dan peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi perlakuan jenayah ini.

“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak Februari lalu dengan cara mempromosikan iklan pinjaman melalui platform media sosial Facebook dan Tiktok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pinjaman dikreditkan terus ke dalam akaun peminjam walaupun terma dan syarat-syarat perjanjian belum dipersetujui.

Mangsa katanya, dipaksa untuk membayar balik pinjaman dengan kadar faedah tinggi antara 20 peratus hingga 50 peratus dan akan diugut, disimbah cat atau dikhianat dengan api sekiranya gagal membayar.

Menurut Ab Rahaman, dengan penahanan ini, pihaknya berjaya menyelesaikan 34 kes khianat membabitkan 18 kes di Johor Bahru, enam kes di Kulai, Kluang (tiga), Pontian (dua), Batu Pahat (dua), Merisng (dua) dan Kota Tinggi (satu) yang menggunakan modus operandi sama.

Sebanyak 34 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan mendapat arahan tuduh bagi satu kes di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api ke atas rumah, katanya.

“Selain itu, enam kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, lapan kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menyebabkan kerugian dan 16 kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan secara sembunyi nama.

“Begitu juga 14 kes di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana tiada memberi maklumat mengenai kesalahan yang dilakukan,” jelasnya.

Ab Rahaman berkata, pada 1 Oktober lalu, sebanyak tujuh kertas siasatan membabitkan 14 pertuduhan sudah dituduh di mahkamah di sini manakala pada 7 Oktober lalu, empat kertas siasatan dengan tujuh pertuduhan dituduh di Mahkamah Kulai.

“Baki 19 kertas siasatan membabitkan 24 pertuduhan lagi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Kluang,” katanya.

Menurut beliau, penangkapan tiga dalamg itu menunjukkan mereka adalah kumpulan paling aktif dengan jumlah pertuduhan tertinggi iaitu sebanyak 45 pertuduhan keseluruhan merupakan kejayaan terbesar sekali gus menunjukkan komitmen serius polis Johor dalam usaha untuk membanteras jenayah melibatkan along di negeri ini.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayari iklan pinjaman atas talian tidak sah serta menyalurkan maklumat ke hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast