KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM45 juta untuk pengoperasian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mencerminkan keprihatinan kerajaan
membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di pintu masuk sempadan negara.
Ketua Pengarah APKS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan dalam Belanjawan 2026 meskipun agensi itu baru sahaja ditubuhkan itu.
“Mengenai penyertaan Veteran Angkatan Tentera merupakan langkah strategik yang akan memperkukuh kecekapan operasi dan rantaian arahan (chain of command) di semua pintu masuk negara.
“Keberadaan mereka yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan dan keselamatan awam akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan AKPS dalam menghadapi ancaman semasa serta mengukuhkan integriti kawalan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Shuhaily, inisiatif itu turut memperlihatkan usaha kerajaan memperkasa ekonomi dan kesejahteraan sosial veteran tentera, dengan memberikan ruang untuk mereka terus berbakti kepada negara melalui perkhidmatan awam yang berdisiplin dan berwibawa.
“Langkah ini juga akan membantu AKPS memperkukuh kolaborasi strategik bersama enam agensi teras di bawahnya dalam mempertingkatkan keberkesanan kawalan di semua pintu masuk darat, laut dan udara selaras dengan matlamat untuk membina sempadan negara yang selamat, berteknologi tinggi dan berintegriti,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan RM45 juta disediakan untuk AKPS untuk terus melindungi sempadan negara.
Sejak penubuhannya, beliau berkata, AKPS telah menghalang masuk lebih 10,000 warga asing dan menyita barangan yang cuba dibawa masuk secara tidak sah.
Untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja yang diperlukan AKPS, keutamaan diberikan bagi melantik pegawai daripada kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh. – MalaysiaGazette
















