KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan Belanjawan 2026 bukan sekadar fisikal sebaliknya manifestasi iltizam kerajaan memperkukuhkan keselamatan negara dan memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan serta komitmen dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pengumuman sebanyak RM21.2 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mencerminkan tekad padu kepimpinan negara bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah watan yang stabil, sejahtera dan berdaya saing.
“Peruntukan ini dijangka memberi impak terhadap kebajikan, prasarana dan kecekapan perkhidmatan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketentaraman awam.
“PDRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diterima dengan penuh amanah, integriti dan disiplin kewangan yang tinggi.
“Setiap sen peruntukan akan dimanfaatkan secara optimum demi memperkukuh keselamatan nasional serta menjamin keselamatan kesejahteraan umum.
“PDRM kekal teguh mendukung dasar-dasar kerajaan dalam kerangka ekonomi MADANI berteraskan nilai profesionalisme, integriti dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ujarnya lagi, PDRM akan terus mengangkat martabat perkhidmatan kepolisan agar selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara aman, makmur dan dihormati di pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette
















