DOHA – Pegawai kanan Hamas menegaskan, kumpulan itu sama sekali tidak menerima syarat untuk meletakkan senjata seperti yang dinyatakan dalam pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Cadangan untuk menyerahkan senjata adalah perkara yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dirunding,” kata pegawai itu kepada AFP.
Terdahulu, Presiden Trump menyatakan isu penyerahan senjata oleh Hamas akan dibincangkan dalam fasa kedua pelan damai tersebut.
Pelan 20 perkara itu menjanjikan pengampunan kepada ahli Hamas yang melucutkan senjata mereka selain membenarkan mereka untuk meninggalkan Gaza.
Pegawai Hamas itu bercakap ketika menjelang berakhirnya tempoh 72 jam bagi pembebasan tebusan Israel, Isnin ini.
Pelucutan senjata oleh Hamas dan pengunduran pasukan Israel dilihat sebagai isu utama yang menghalang pelaksanaan pelan Trump walaupun terdapat harapan untuk menamatkan perang dahsyat yang telah berlarutan selama dua tahun. -AFP
















