Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan insentif cukai kepada penyumbang program pencegahan rasuah perlu disertai garis panduan dan pemantauan telus bagi memastikan tiada ruang salah guna dana awam.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan potongan cukai kepada penderma yang menyumbang kepada program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun pelaksanaannya mesti dikawal ketat.

“Hanya NGO yang benar-benar diiktiraf dan diaudit wajar menerima kelayakan tersebut. Langkah ini penting bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap usaha pencegahan rasuah serta mengelak unsur penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jais, insentif cukai itu secara asasnya merupakan pengiktirafan terhadap peranan masyarakat sivil sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina budaya integriti nasional namun tanpa kawalan jelas ia boleh terdedah kepada penyalahgunaan.

Beliau juga mengingatkan keberkesanan dasar pencegahan rasuah tidak bergantung kepada jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya pada sistem audit dan pelaksanaan yang berintegriti.

“Setiap ringgit yang diperuntukkan untuk tujuan integriti mesti dibelanjakan secara telus dan berimpak, bukan sekadar simbolik,” tegasnya.

Dalam masa sama, MCW turut mengulas kejayaan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang melaksanakan lebih 1,000 pembaharuan tanpa perunding luar dan berjaya menjimatkan RM1.1 bilion kos pematuhan sebagai bukti keupayaan sebenar perkhidmatan awam.

“Peningkatan 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia menunjukkan reformasi dalaman boleh memberi kesan besar terhadap tadbir urus serta keyakinan pelabur,” katanya.

Jais turut menyambut baik peruntukan RM25 juta kepada STAR bagi memperkukuh pendigitalan urusan rakyat yang dijangka dapat mengurangkan ruang rasuah kecil serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau menegaskan, reformasi integriti yang dibawa melalui Belanjawan 2026 hanya akan berjaya jika disusuli pelaksanaan yang telus, berdisiplin dan bebas daripada kepentingan politik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast