JOHOR BAHRU – Situasi jangkitan influenza di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, namun Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Kita harap keadaan tidak ke arah teruk dan hanya satu kelas sahaja (Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2 ditutup susulan penularan influenza).
“JKNJ dan PKD ambil tindakan kawalan aktif kalau berlaku apa-apa, pihak PKD akan ambil tindakan aktif. Pihak sekolah pula kalau mengesan murid ada simptom awal tampil ke fasiliti kesihatan dan lapor ke JKNJ dan PKD dalam keadaan segera,” katanya mengulas perkembangan jangkitan influenza di negeri ini setakat ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Operasi Mega Selamat Paru-Paru Peringkat Negeri Johor di Pentas Utama, Rooftop, Toppen Shopping Centre di sini hari ini.
Khamis lalu, Tian Soon dilaporkan berkata, SK Taman Permas Jaya 2 ditutup susulan penularan influenza selain memaklumkan enam kluster influenza direkodkan di daerah ini melibatkan institusi pendidikan sekolah bagi tempoh Januari hingga kini.
Sebelum itu tular dalam media sosial notis penutupan kelas berkenaan dibawa Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Penutupan bermula pada Rabu sehingga 17 Oktober ini dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan kawalan jangkitan dilakukan serta mengelakkan penularan lebih meluas.
Sementara itu, beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana langkah mengawal jangkitan tersebut dan penyakit lain terus dilakukan di pintu-pintu masuk darat utama di sempadan Johor-Singapura.
Jelasnya, proses saringan di pintu masuk dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa termasuk mengambil suhu badan pelawat keluar masuk.
Sekiranya keadaan bertambah teruk kata Tian Soon, pihaknya akan menunggu arahan daripada KKM untuk tindakan lanjut meningkatkan tahap keselamatan di pintu-pintu masuk utama.- MalaysiaGazette
















