JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mencadangkan kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya atau Lembaga Pengiklanan Negara bagi mengawal etika pengiklanan termasuk dalam media sosial bagi mengelak penipuan.
Timbalan Presiden Kebangsaan (Dasar dan Perancangan Strategik) MTPN, Masrudi Abdul Rahman berkata, ini bagi memastikan kandungan iklan diteliti, ditapis dan disahkan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
Beliau berkata, MTPN akan bertemu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membincangkan langkah sewajarnya kerana banyak syarikat yang menipu menutup operasi selepas pelanggan membuat aduan terhadap mereka dan sebelum membuka syarikat baharu.
Katanya, sebanyak 23 aduan berkaitan iklan mengelirukan telah diterima MTPN setakat ini di seluruh negara iaitu 18 kes babitkan iklan pakej perkahwinan dan lima kes produk kecantikan.
“Masalah ini berterusan. Jika satu butik pengantin mengenakan caj sekitar RM17,000 bagi satu pelanggan dan kita sudah ada lebih 18 kes, jumlah kerugian boleh mencecah antara RM200,000 hingga RM300,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Taman Daya di sini semalam.
Turut hadir Presiden MTPN, Datuk Kevy Yeo Kok Vui; Ahli Majlis Penasihat MTPN, Profesor Datuk Dr GP Doraisamy yang juga Setiausaha Agung Kehormat World Humanitarian Drive (WHD) serta Timbalan Presiden MTPN, Noorman Kamsani.
Mengulas lanjut, Masrudi berkata, masalah timbul apabila aduan dibuat kepada MTPN akibat pengguna ditipu selepas membelinya menerusi iklan.
“Apabila sudah kena tipu dan aduan dibuat kepada MTPN, akan wujud masalah bila kita mahu berikan bantuan. Contohnya ada kes berkenaan penipuan penapis air, produk ini berkaitan kesihatan.
“Bila pelanggan ada masalah, persoalan akan timbul, siapa yang luluskan dan macam mana iklan ini boleh terlepas? Jadi dengan siapa kita perlu rujuk untuk selesaikan aduan yang diterima,” soalnya.
Masrudi berkata, ini juga termasuk iklan e-dagang yang menyalahgunakan maklumat pengguna.
“Contohnya kad SIM yang telah didaftarkan secara sah, tetapi apabila disalah guna oleh penipu, individu yang namanya digunakan pula menanggung akibat. Persoalannya, tanggungjawab ini harus dipikul siapa,” soalnya lagi.
Selain itu, beliau berkata, MTPN telah menyelesaikan sebanyak 383 aduan pengguna setakat pertengahan tahun 2025 dengan kerugian lebih RM1 juta.
“Salah satu kes paling ketara ialah butik pengantin yang mengiklankan pakej mereka di ekspo, pengguna pun membuat bayaran, tetapi apabila tiba tarikh perkahwinan, butik tidak dapat dihubungi. Ada kes pembeli pergi ke rumah pemilik butik, tapi rumah pun sudah kosong,” katanya.- MalaysiaGazette
















