Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Peruntukan sebanyak RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM)menerusi Belanjawan 2026 semalam disifatkan sebagai langkah penting  meningkatkan kualiti serta martabat sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan termasuk melalui penaiktarafan prasarana sekolah, kebajikan pelajar dan pembangunan pendidikan teknikal serta vokasional (TVET).

“Dalam ucapan belanjawan semalam telah disentuh beberapa aspek khususnya yang terkait rapat reformasi pendidikan termasuklah latihan teknikal dan vokasional (TVET), bahasa, pembinaan sekolah-sekolah baharu yang lebih kondusif.

“Selain itu kebajikan para pelajar yang dikekalkan dalam belanjawan itu termasuk bantuan awal persekolahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir dalam majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan perdana menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap keperluan semasa KPM dalam usaha memajukan sektor pendidikan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengumumkan KPM menerima peruntukan terbesar berjumlah RM66.2 bilion, termasuk RM2 bilion khusus bagi menaik taraf lebih 520 buah sekolah daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu juga merangkumi kos baik pulih serta penyelenggaraan semua jenis sekolah di seluruh negara sebagai usaha memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat untuk murid serta guru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast