GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2026 yang disifatkan masih gagal memberi tumpuan mencukupi kepada perlindungan alam sekitar serta hak masyarakat orang asli.
SAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong hasrat kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli namun, menegaskan proses itu perlu melibatkan rundingan telus dan menyeluruh bersama komuniti terbabit serta pihak berkepentingan bagi memastikan hak adat mereka terus dihormati dan dilindungi.
Bagaimanapun, pihaknya membantah pelaksanaan aktiviti pemetaan sumber nadir bumi yang diperuntukkan RM10 juta susulan kawasan sensitif alam sekitar serta wilayah adat masyarakat orang asli perlu dikecualikan sepenuhnya.
“Kita menyambut baik peruntukan RM20 juta bagi rebat pembelian peralatan cekap tenaga, yang dilihat selari dengan usaha menggalakkan gaya hidup lestari.
“Namun, keputusan memperluas pelepasan cukai individu untuk pembelian mesin pengisar sisa makanan, seharusnya diberikan kepada pendidikan alam sekitar dan pengguna.
“Kami kecewa kerana tiada peruntukan disediakan kepada kumpulan alam sekitar dan pengguna untuk melaksanakan program pendidikan bagi memupuk gaya hidup mampan,” katanya di sini.
Tambah SAM, inisiatif Solar Madani yang berjaya memasang 4,000 lampu solar di Sabah dan akan diperluaskan ke seluruh negara adalah langkah yang baik.
Bagaimanapun, peruntukan RM250 juta bagi Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) tidak mencukupi kerana jumlah itu kekal sama seperti tahun lalu dan RM50 juta daripada jumlah itu akan diagihkan kepada kerajaan negeri juga dikira terlalu kecil untuk menjamin usaha pemuliharaan hutan.
“SAM juga kesal kerana tiada sebarang pengumuman dibuat berkenaan perlindungan Central Forest Spine serta pembangunan koridor hidupan liar, yang penting untuk mengurangkan konflik manusia dan haiwan.
“Ketiadaan peruntukan untuk membanteras pemburuan, penyeludupan dan pemerdagangan flora serta fauna turut mengecewakan.
“Peruntukan RM80 juta bagi penempatan 2,500 renjer komuniti untuk menjaga hutan kita hargai, namun berharap ia turut merangkumi tindakan terhadap pemburuan dan penyeludupan hidupan liar,” katanya.
Mengenai usaha pemuliharaan sungai, SAM mengalu-alukan peruntukan RM300 juta termasuk RM10 juta untuk projek Jejak Sungai Kebangsaan namun kecewa kerana tiada peruntukan khusus diumumkan untuk penguatkuasaan dan pemantauan pencemaran air dan udara.
“Langkah kerajaan memperkenalkan cukai karbon terhadap sektor besi, keluli dan tenaga dialu-alukan, tapi kita menunggu butiran lanjut untuk menilai keberkesanannya dalam mengurangkan pelepasan karbon negara.
“Selain itu, kita juga bimbang berkaitan pembangunan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) yang dilihat menyumbang kepada penggunaan tenaga dan air yang tinggi kerana ia tidak diambil kira dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara.
“Dalam aspek pengurusan bencana, kita menyambut baik peruntukan RM460 juta kepada NADMA serta RM210 juta bagi sistem amaran awal, yang penting dalam menghadapi risiko banjir yang semakin meningkat akibat perubahan iklim,” katanya. – MalaysiaGazette
















