Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Residensi D’Marina Fasa 2B pada semalam

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan pemaju perumahan agar menekankan aspek kualiti dalam projek yang dilaksanakan.

Baginda bertitah, ia bagi mengelak sebarang masalah kepada semua pihak terutamanya penganiayaan kepada pembeli.

“Kualiti (aspek) la mesti baik, kalau beli rumah substandard (tak penuh spesifikasi) tak bagus, itu ada elemen penipuan.

“Mustahaknya (kena) ada kualiti, ada ruang yang sesuai untuk (saiz) keluarga. Kemudahan wifi, solar pula akan memberi nilai tambah kepada sesuatu projek perumahan itu,” titahnya menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh berkenan keperluan menyiapkan sesebuah projek mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak terbengkalai.

“Itu (siap ikut waktu) mustahak, kalau tidak siap dalam masa yang ditetapkan, kos akan meningkat seterusnya membebankan pemaju, dan akhrinya caj dikenakan pula kepada pembeli rumah,” titah baginda.

Baginda bertitah, pembinaan rumah di bandar Kuantan adalah strategik dan harganya masih berpatutan.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah berharap lebih ramai warga Kuala Lumpur akan mempertimbangkan untuk memiliki rumah di luar ibu kota, khususnya di kawasan seperti Kuantan dan Bentong.

“Dengan kewujudan ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) yang bakal beroperasi tidak lama lagi, kawasan-kawasan ini dijangka menjadi hab pertumbuhan baharu dengan banyak projek perumahan moden sedang dibangunkan di sepanjang laluan tersebut.,” titahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast