KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus membuktikan keupayaannya sebagai institusi teras dalam bidang maritim negara melalui pembangunan Teaching Shipyard TVET Marine yang baharu serta kemudahan penyelidikan bidang maritime berteknologi tinggi.
Menurut Naib Canselor UMT, Prof Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, pembangunan berterusan itu menjadi bukti komitmen UMT dalam merintis masa depan pendidikan sektor maritim negara.
“Kami di UMT sangat teruja dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini yang memberi fokus kepada pendidikan khususnya peruntukan khas bagi pembangunan Teaching Shipyard TVET Marine di UMT.
“Kami percaya dengan sokongan kerajaan dan rakan industri, UMT mampu muncul sebagai Maritime Innovation Hub serantau sekaligus memperkasa pembangunan modal insan dan
inovasi teknologi maritim yang menyokong kemajuan ekonomi biru negara dan kini UMT berada pada landasan yang tepat ke arah itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Zamri, usaha itu dijangka memperkukuh lagi kedudukan universiti di pentas antarabangsa.
UMT tersenarai dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia dalam bidang Maritim dan Oseanografi dan kami di UMT terus memainkan peranan sebagai universiti awam di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap program seperti Teknologi Maritim, Senibina Kapal, Pengurusan Maritim, Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim serta Informatik Maritim.
Seiring dengan hala tuju nasional yang digariskan dalam Belanjawan Malaysia 2026, Perenggan 66, kerajaan menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja maritim yang berkemahiran tinggi.
Peningkatan kapasiti ini penting untuk menyokong sektor-sektor strategik seperti logistik, perkapalan, keselamatan perairan dan ekonomi biru negara.
Dalam konteks tersebut, penubuhan Teaching Shipyard TVET Marine di UMT yang merupakan inisiatif berimpak tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi pemangkin kepada pelbagai peluang baharu.
“Fasiliti ini bukan sekadar ruang pembelajaran, malah berfungsi sebagai platform latihan yang menerapkan konsep contextualize learning iaitu pembelajaran berdasarkan pengalaman sebenar yang membolehkan pelajar terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembinaan, penyelenggaraan dan penyelidikan kapal, termasuk teknologi baharu seperti kapal elektrik dan hidrogen.
“Pengalaman praktikal yang diperoleh meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyediakan mereka untuk memenuhi keperluan industri sebenar,” ujarnya.
Katanya, pembangunan Teaching Shipyard TVET Marine bakal membuka peluang luas kepada penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi yang
berimpak tinggi selain lonjakan program maritim di UMT semakin mampan melalui sinergi kukuh antara akademia dan industri.
Peranan strategik itu bukan sahaja menyokong agenda kelestarian dan kemajuan teknologi negara malah turut memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor maritim global dalam menyediakan modal insan yang kompetan dan memenuhi keperluan industri. – MalaysiaGazette
















