KLUANG – Polis memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat menyerang seorang remaja di gelanggang bola keranjang Kampung Paya, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pukul11.15 pagi semalam selepas kejadian itu tular.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 11 malam kelmarin apabila seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun diserang bebeberapa individu yang tidak dikenali.
“Bertindak atas maklumat, pada pukul 1.30 petang, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (Kluang) menahan empat lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 21 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai rekod kesalahan kes jenayah menakala suspek ketiga dan keempat tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.
Selain itu katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemuanya negatif dadah.
Bahrin memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaa, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang sama ada melalui talian 07-7784222, hotline:07-7766822, Direct line: 07-778425, tablet DCC:014-3656822,” katanya. – MalaysiaGazette
















