AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan peruntukan besar kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam belanjawan saban tahun tidak menggambarkan peningkatan dalam sistem pendidikan itu sendiri.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, sejak 10 tahun kebelakangan ini, KPM secara puratanya menerima peningkatan peruntukan menerusi belanjawan sekitar 3.1 peratus setahun.

Namun, kata beliau, beberapa kejadian di sekolah termasuk yang terbaharu melibatkan kes rogol bergilir-gilir di Melaka menimbulkan persoalan berkenaan soal kemenjadian pelajar menerusi sistem pendidikan negara.

“Sebab itu saya nak ingatkan dalam KPM menerima bajet yang besar ini, biarlah ia boleh memanusiakan pelajar kita iaitu memastikan kemenjadian pelajar-pelajar kita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli turut melahirkan rasa sedih dengan reaksi yang diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol bergilir-gilir di Melaka yang masih dibenarkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Sedangkan, kata beliau, tumpuan ketika ini bukan sama ada pelajar berkenaan boleh menduduki SPM atau sebaliknya tetapi bagaimana untuk menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat untuk murid dan pelajar.

Dalam masa sama, beliau menghargai kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad hari ini yang menegaskan, kesemua pelajar yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol itu akan dibuang sekolah serta-merta.

“Sebab itu kenyataan seperti ini jangan orang politik yang keluarkan, berilah kepercayaan kepada penjawat awam, KSU (Ketua Setiuasaha Kementerian) misalnya mereka lebih mahir dan lebih tahu bagaimana cara menangani isu ini berdasarkan polisi-polisi sedia ada.

“Menteri mungkin boleh buat video happy birthday PM okay lah…cukup setakat itu tetapi kalau nak bincang lebih-lebih isu ini, kena bagi kepada penjawat awam,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli tidak menyalahkan Fadhlina atau KPM berhubung pelbagai kejadian yang berlaku melibatkan pelajar dan sekolah ketika ini.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang cuba disampaikan adalah sesuatu isu yang berlaku itu memerlukan kebijaksanaan dan keprihatinan yang tinggi untuk ditangani.

Semalam, Fadhlina dikritik banyak pihak susulan kenyataan beliau yang mana semua empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.

Menurut Fadhlina, keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, tindakan undang-undang terhadap mereka diserahkan sepenuhnya kepada polis manakala kementeriannya memberi tumpuan kepada aspek disiplin, ekosistem sekolah serta sokongan emosi dan psikososial kepada semua pihak yang terbabit. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast