Masrudi Abdul Rahman

JOHOR BAHRU – Kerajaan disaran menimbang untuk perluas sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk segmen pengangkutan awam lain yang turut menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

Timbalan Presiden Kebangsaan (Dasar dan Perancangan Strategik) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Masrudi Abdul Rahman berkata, kemudahan itu antaranya ada disediakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau komuniti setempat.

Jelasnya, sebagai contoh terdapat persatuan kebajikan yang menyediakan perkhidmatan ambulans swasta selain van jenazah milik persendirian.

“Ini kerana mereka tidak tersenarai dalam kenderaan komersial yang layak mendapat manfaat BUDI95 membabitkan sembilan jenis pengangkutan awam.

“Kadang kala komuniti kita ada aset, jadi nak tentukan nak guna kad pengenalan siapa? Itu satu. Kedua, sistem kuota sedia ada hanya memberi kelegaan kepada individu, sedangkan banyak perkhidmatan masyarakat bergantung kepada penggunaan kenderaan secara bergilir-gilir oleh individu berbeza.

“Setiap kad pengenalan ada kuota dan setiap individu tentunya mahu menggunakan subsidi ini untuk meringankan beban hidup mereka sendiri. Jadi, perlu ada jalan keluar untuk bantu golongan seperti ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, RON95 dijual pada kadar bersubsidi RM2.05 seliter untuk kenderaan komersial yang layak membabitkan sembilan jenis pengangkutan awam dan 12 sektor logistik.

Tambahnya, kadar 6 sen itu lebih tinggi berbanding RM1.99 seliter untuk orang awam, tetapi masih lebih rendah berbanding harga tanpa subsidi.

Amir berkata, sembilan segmen pengangkutan awam itu ialah teksi, kereta sewa, bas sekolah, van jenazah, ambulans, jentera bomba, bas perantara, bas mini dan bas henti-henti.

Beliau berkata 12 segmen di bawah sektor logistic pula van panel, van tingkap, van separa panel, lori dan van katering makanan, van perkhidmatan bergerak, lori kotak, lori sejuk beku dan lori yang menyediakan perkhidmatan bergerak serta membawa kargo am, hasil pertanian dan haiwan.

Sementara itu, Masrudi menggesa ibu bapa agar lebih peka terhadap kandungan yang ditonton anak-anak dalam media sosial, terutamanya apabila mengandungi unsur yang bertentangan dengan budaya dan agama.

“Kita lihat baru-baru ini tular dalam media sosial tentang seruan untuk memboikot Netflix berikutan tayangan animasi yang ada unsur transgender. Jadi, ibu bapa tidak boleh hanya bergantung kepada parental control tools (perkhidmatan perisian dalam talian yang menapis kandungan) tetapi perlu memantau sendiri apa yang anak mereka tonton,” katanya.

Beliau menambah, perhatian harus diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang lebih mudah terpengaruh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast