KUALA LUMPUR – Industri tuna negara mnunjukkan kemajuan pesat dengan jumlah pendaratan bagi tuna oceanic, neritic dan tuna-like species pada tahun 2024 sebanyak 88,725 tan metrik bernilai kira-kira RM890 juta.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Sabah kekal sebagai penyumbang utama dengan pendaratan dianggarkan sekitar 22,995 tan metrik bernilai hampir RM177 juta.
Manakala Labuan pula merekodkan pendaratan sekitar 1,296 tan metrik bernilai hampir RM12 juta.
“Kedudukan strategik kedua-dua wilayah di Laut Sulu dan Laut China Selatan menjadikannya pemangkin utama kepada aspirasi Malaysia sebagai hab perikanan tuna serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, hala tuju pembangunan industri tuna kini digerakkan melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021–2030, yang berfungsi sebagai panduan utama ke arah pengurusan dan pembangunan sektor tuna negara secara mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian semasa menyampaian ucapan aluan Seminar Industri Tuna Labuan 2025 (Labuan Tuna Conference 2025) yang disempurnakan oleh Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Pelan ini memberi tumpuan kepada enam teras utama, iaitu pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa; pembangunan spesifikasi vesel dan kuota tangkapan lestari; penggunaan teknologi moden dalam perikanan tuna; pengukuhan pengurusan dan integriti industri; peningkatan kapasiti penguatkuasaan; serta penambahbaikan kualiti pasca tuai dan pengeluaran produk nilai tambah yang mampu menembusi pasaran eksport.
Beliau menambah, industri tuna bukan sekadar aktiviti penangkapan, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada pendaratan, penyelidikan, logistik, pemprosesan hingga pemasaran produk.
Dalam konteks ini, Labuan dan Sabah berpotensi besar menjadi pemacu utama kepada pembentukan Hab Tuna Nasional melalui pelaburan strategik, pembangunan fasiliti moden serta kolaborasi rentas agensi dan sektor swasta. – MalaysiaGazette
















