MUAR – Seorang maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan sebelum terjunam ke dalam Sungai Panchor di pekan Pagoh hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.47 petang.
Susulan itu seramai 14 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tiga tan, sebuah Nissan Navara dan sebuah bot fiber dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya lima kilometer.
“Mereka turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPD) dari BBP Muar. Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam terjunam dalam sungai akibat kemalangan.
“Maklumat daripada saksi di tempat kejadian terdapat mangsa masih dalam kenderaan dipercayai pemandu kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa masih lagi sedang dilakukan dan identiti mangsa setakat ini masih belum diketahui.
Terdahulu tular dalam Facebook sebuah kereta terjatuh dalam sungai dan mangsanya didakwa suami isteri, kejadian berlaku selepas pasangan itu baru lepas makan di sebuah kedai.- MalaysiaGazette
















