Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.

KUALA LUMPUR – Masalah yang melanda dalam sistem pendidikan negara bukan tak cukup duit atau tak cukup cikgu mahupun pegawai tetapi tiada perubahan sikap dan minda.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, hakikatnya sistem pendidikan negara masih dalam kepompong lama yang penuh kerenah birokrasi dan cara fikir lama.

Menurut beliau, tidak banyak idea baharu dan berani untuk mendepani cabaran pendidikan semasa dan akhirnya masalah ini menjadi sistemik sehingga tahap pendidikan semakin ketinggalan, semakin caca marba dan akhirnya cacat.

Anuar berkata, masalah dalam sistem pendidikan negara ini telah lama diberi peringatan olehnya berdasarkan data dan kajian pendidikan yang ada.

“Saya secara terbuka menegaskan sistem pendidikan kita sedang ‘caca marba’ sehingga akhirnya membawa kepada ‘krisis pendidikan’.

“Namun, ada pihak yang menafikan. ‘Itu fitnah’, kata mereka. Bersungguh-sungguh pihak tersebut menafikan. ‘Pencapaian sistem pendidikan kita ‘luar biasa’, tegas mereka. ‘Jangan fitnah’, kata mereka berulang kali.

“Akhirnya kebenaran terpampang di depan mata. Apakah kecacatan sistem pendidikan negara yang disebut oleh PMX juga satu fitnah? Mereka kena jawab,” ujarnya yang mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan negara perlu memberikan penekanan kepada aspek nilai, moral dan prinsip etika dan bukan hanya pengetahuan semata-mata, susulan beberapa insiden membabitkan buli serta rogol akhir-akhir ini.

Jelas beliau, ketika ini sistem sedia ada mempunyai kecacatan.

“Macam (isu) buli. Ini baru saya umum hari Jumaat, umum pasal buli memang keputusan dah dibuat, menteri dah sebut…(kejadian) rogol lagi di sekolah.

“Sampai tiap majlis saya di Tambun, satu hari, hari Sabtu jumpa ada dua program di sekolah, itu saya tekankan masalah buli,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Anuar secara sinis berkata, pihak-pihak terlibat boleh terus menafikan, malah boleh terus nafikan dan menyatakan ini semua fitnah.

“Tetapi masyarakat semakin hilang kepercayaan pada sistem pendidikan negara. Itu hakikatnya.

“Semoga hadirlah seorang pemimpin pendidikan yang berani mengubah semua ini. Semoga sistem pendidikan negara kita kembali mendapat kepercayaan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast