JOHOR BAHRU – Jenayah berat yang dilaporkan berlaku dalam kawasan sekolah ketika ini seharusnya menjadi wake-up call kepada seluruh masyarakat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, perkembangan itu menunjukkan seolah-olah wujud satu wabak sosial yang semakin membimbangkan.
“Sehinggakan kawasan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak juga tidak lagi terlepas daripada ancaman tragedi sebegini.
“Kejadian-kejadian ini mencerminkan seolah-olah wujud satu bentuk kegagalan sistemik yang perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan.
Seorang pelajar perempuan tingkatan empat meninggal dunia ditikam pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pagi tadi.
Pada 2 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 sebuah sekolah di Melaka dipercayai dirogol dua pelajar senior dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, sistem pendidikan yang sepatutnya mendidik dan melindungi generasi masa depan kini turut terpalit dengan unsur-unsur jenayah berat yang mencemarkan nilai kemanusiaan dan moral.
Justeru katanya, sudah tiba masanya masyarakat berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.
“Ini bukan masa untuk menuding jari atau mencari salah mana-mana pihak semata-mata. Sebaliknya, ini masa untuk kita bersatu, mengambil tindakan, dan menjadi masyarakat yang benar-benar prihatin serta saling ambil peduli.
“Kementerian Pendidikan Malaysia, para guru dan kakitangan sekolah mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan pelajar di kawasan sekolah. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu lebih peka dan aktif memantau perkembangan anak-anak,” katanya.
Jabatan dan agensi lain katanya, seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan turut mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Pemuda Johor menyeru agar semua pihak mengambil serius perkara itu dan kembali menjadikan sekolah sebagai kawasan yang benar-benar selamat bukan sahaja daripada segi fizikal, tetapi juga dari segi moral dan emosi. – MalaysiaGazette
















